Semasa

Pengurangan hukuman Najib boleh dibahaskan, namun keputusan Lembaga Pengampunan perlu dihormati

Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak bersabit kes SRC International adalah munasabah dan berpatutan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja yang berkuasa ke atas Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan tidak boleh dicabar di mahkamah, sama ada kita bersetuju dengannya ataupun tidak.

“Ia tetap tidak boleh dibicarakan di mahkamah undang-undang sama ada Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat Lembaga Pengampunan ataupun tidak.

“Ini kerana kuasa membuat keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bersifat kuasa budi bicara baginda dengan syarat sebelum Seri Paduka membuat keputusan tersebut, satu mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan dan dipengerusikan oleh Baginda.

“Sama ada kita bersetuju atau tidak tentang hal semacam ini, itu adalah persoalan lain.

“Satu hal perlu disedari bahawa Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah Mahkamah Belas Ihsan (court of mercy) bukannya mahkamah undang-undang biasa (court of laws),” kata Hassan yang juga seorang pengamal undang-undang.

Sementara itu Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menjelaskan, soal teras dan asas yang perlu dilihat dalam keputusan membabitkan Najib semalam ialah Lembaga Pengampunan tetap menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang mendapati selepas perbicaraan penuh dan selepas rayuan dan semakan bahawa Najib adalah bersalah dan sabitan bersalah itu tidak diberikan pengampunan.

BACA LAGI: PM Anwar hormati keputusan Lembaga Pengampunan

“Sebagai seorang anggota Jawatankuasa Mengenai Rasuah yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri di bawah Seksyen 14 Akta SPRM 2009, saya melihat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap kes rasuah dan salah guna kuasa Najib dalam kes SRC International akan dapat mengekalkan semangat dan komitmen kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan agensi memerangi rasuah SPRM untuk meneruskan komitmen membasmi amalan rasuah di Malaysia ini.

“Dalam isu pengurangan tahun penjara dan pengurangan kuantum denda, jika sesiapa hendak pertikai, boleh sahaja dibahaskan.

“Tetapi keputusan Lembaga Pengampunan yang teguh mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib telah menghantar isyarat yang jelas kepada mahkamah supaya terus kekal mempertahankan kebebasan mahkamah undang-undang dalam soal keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.

Related Articles

Back to top button