Semasa

Penoreh bakal terima pembayaran IPG mulai 1 hingga 19 Febuari ini

Pekebun-pekebun kecil getah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bakal menerima pembayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) mulai 1 hingga 19 Februari ini.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, pembayaran itu diaktifkan susulan harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di bawah paras RM3 sekilogram.

Dipetik laporan media, pada bulan Januari 2024, purata harga di peringkat ladang untuk getah cuplump ialah RM2.90 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia, RM2.55 sekilogram untuk Sabah dan Sarawak.

“IPG getah cuplump dan lateks teraktif bagi Januari 2024 di Semenanjung Malaysia ialah 10 sen sekilogram untuk 50 peratus kandungan getah kering (KGK) dan 20 sen sekilogram untuk 100 peratus KGK.

“Manakala di Sabah, kadarnya ialah 45 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK dan Sarawak kadarnya ialah 45 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.

“Manakala, kadar IPG bagi lateks ialah 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK,” kata LGM laporan itu.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM9.4 juta untuk bantu peneroka getah hadapi musim tengkujuh

IPG bertujuan membantu pekebun kecil getah di Negara ini menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka

Pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan untuk menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.

Ia adalah kenaikan kali kedua ketika pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Kenaikan pertama diumumkan dalam Belanjawan 2023 apabila kerajaan bersetuju menaikkan paras harga IPG dari RM2.50 kepada RM2.70.

Related Articles

Back to top button