Nasional

Terlanjur komen terkait keputusan Lembaga Pengampunan boleh diambil tindakan – Fahmi

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil memohon semua pihak untuk menghormati dan tidak terlanjur dalam membuat sebarang komen termasuk di media sosial berhubung keputusan Lembaga Pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk membuat sebarang keputusan, selain diputuskan dalam beberapa kes sebelum ini bahawa keputusan itu tidak boleh dipersoal di mahkamah.

“Kalau keputusan mahkamah tidak boleh dipersoal, saya mohon kita semua hormat (keputusan pengampunan). Jika kita terlanjur dalam beberapa komen, beberapa tindakan boleh diambil sama ada oleh polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Jadi, jangan sampai berlaku pelanggaran undang-undang, adab, tatasusila dan jangan sentuh isu 3R (agama, bangsa dan raja). Ini peringatan kepada semua, jika ada mana-mana pihak yang menguji sistem itu, maka tindakan boleh diambil.

“Saya mohon supaya semua (untuk) cakna dan berwaspada (dalam membuat komen). Jangan sehingga tindakan diambil,” katanya selepas melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Bukit Goh di Kuantan Pahang, hari ini.

2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun ke enam tahun selain denda berjumlah RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Related Articles

Back to top button