Nasional

Doktor kontrak: KKM masih tunggu perincian skim baharu penjawat awam

Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu perincian mengenai pelaksanaan sistem kontrak baharu membabitkan penjawat awam khususnya doktor kontrak di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya ambil maklum kegusaran yang dibangkitkan Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mengenai pelaksanaan sistem baharu itu, berikutan tarikh penguatkuasaannya sepatutnya bermula 1 Februari lalu.

Buat masa ini, beliau berkata, semua pihak diminta untuk terus bersabar sementara pelaksanaan sistem itu diperincikan.

“Kita tunggu perincian kerana Perdana Menteri sudah sebutkan dalam proses memperincikan. Harap bersabar, untuk kita faham apakah yang dimaksudkan dalam kontrak bermula 1 Februari itu. Kita tunggu apa tindakan lanjut,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak, pada Ahad.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam satu surat pekeliling bertarikh 15 Januari, telah menyatakan kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Sementara itu, mengenai isu elaun tugas atas panggilan (on-call) untuk doktor, Dzulkefly berkata, perkara itu akan dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam masa terdekat.

“Itu (isu elaun tugas on-call) pun sudah kita bincangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet. Kita ada satu kaedah untuk melihat semula perkara itu tentang ‘active call’, ‘passive call’.

“Saya kira perkara itu saya sudah lihat penyelesaiannya. Ketua Pengarah Kesihatan akan menerbitkan siaran media mengenai elaun ‘on-call’ itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button