Nasional

Isu keciciran murid, KPM peluas pra sekolah setiap tahun – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) telah melakukan peluasan kepada pra sekolah di bawah kementerian setiap tahun bagi memastikan enrolmen mencapai sehingga 90 peratus dalam usaha bagi memastikan tiada keciciran murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peluasan pra sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berlangsung setiap tahun kerana permintaan yang terlalu tinggi selain kementerian mahu memastikan pendidikan percuma di peringkat pra sekolah.

Menurutnya, ketika ini, sebanyak 9,909 kelas pra sekolah di seluruh negara.

“Setiap tahun melakukan peluasan kepada pra sekolah di bawah KPM. KPM menyambut agenda reformasi pendidikan dan khususnya terkait rapat dengan pra sekolah walau pun Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) bukan bawah KPM.

“Bagaimanapun, KPM telah pun melaksanakan penyelarasan itu, jadi Kemas, Tadika Perpaduan dan pra sekolah di bawah KPM akan dibuat penyelarasan untuk beberapa perkara, khususnya memberikan tumpuan kepada isu pra sekolah,” katanya pada Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Sri Mutiara Raia Inn di Bayan Lepas, pada Ahad.

Beliau berkata, peluasan kelas pra sekolah pada 2023 adalah 119 dan 129 pada 2024 bagi memastikan lebih ramai murid mendapat pendidikan awal di sekolah.

“Lebih daripada 200,000 orang murid pra sekolah di seluruh negara pada sesi 2023/2024,” katanya.

Dalam perkembangan lain, KPM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.

Fadhlina berkata, pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada Kementerian Komunikasi sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan membabitkan golongan berkenaan.

“Itu kita minta penyelarasan daripada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) memandangkan saya fikir, saya memerlukan maklumat dan pedoman daripada beliau supaya kita juga boleh tengok kesan dan impaknya kepada anak-anak kita.

“Saya pasti ada garis panduan yang perlu dipatuhi bagi memastikan kawalan itu berlaku khususnya daripada ibu bapa,” katanya.

Related Articles

Back to top button