KBS salur sokongan, majukan sukan sepak takraw – Adam Adli
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyalurkan lebih banyak bantuan dan sokongan bagi memajukan lagi sukan sepak takraw di negara, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abd Halim.
Di temui pemberita Bukit Serindit di Melaka pada Sabtu, Adam Adli berkata, sokongan itu termasuk kepada pasukan Melaka yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari 2024 setelah menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah pada 27 Jan lepas.
“Saya telah pun menghubungi pihak pasukan sepak takraw Melaka untuk melihat bantuan atau keperluan yang boleh KBS bantu bagi memastikan pasukan itu terus ke hadapan.
“Selain sokongan jurulatih tempatan dan usaha pemain pasukan itu sendiri, faktor pembangunan bakat dan pasukan berkenaan yang bermain dari peringkat bawah menjadi pendorong utama dengan mengasah bakat baharu di peringkat belia,” katanya.
BACA LAGI: PM Anwar ucap tahniah buat pasukan hoki 5s Malaysia
Tambahnya, susulan kejayaan pasukan sepak takraw Melaka, pasukan itu juga dibenarkan menjalani latihan di semua fasiliti sukan di bawah KBS sebagai persediaan menghadapi sebarang kejohanan.
Dalam pada itu beliau berkata kelab sukan sepak takraw lain yang ada di negara ini juga akan diberi tumpuan dalam memastikan pemain, jurulatih dan pasukan mendapat akses yang sepatutnya daripada pihak KBS pusat dan negeri.