Masyarakat ada hak lapor salah laku anggota polis – KPN
Sikap dan gaji yang kecil antara faktor berlakunya pengambilan rasuah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, pendedahan terhadap aspek integriti perlu dipertingkatkan supaya kredibiliti polis terus ada bagi mengelakkan masyarakat terus hilang kepercayaan kepada Polis DiRaja Malaysia.
“Memang saya akui, gaji itu merupakan salah satu faktor. Kalau dibandingkan dengan Singapura tiada rasuah sebab gaji kecil. Itu negara kecil. Kita sendiri ada 137,000 dan akan bertambah pada tahun ini dengan kemasukan 4,000 lagi (pegawai dan anggota polis).
“Saya mengambil indikator sebegini. Kalau gaji konstabel rendah, dia masuk RM1,441 dengan elaun dapatlah RM2,500. Duduk di Kuala Lumpur memang miskin bandar namun kalau duduk di Kuala Nerang, Besut, Belaga, gaji itu banyak. Kalau duduk di Kinabatangan dan Beluran, gaji itu juga banyak dan mendapat elaun kesusahan antara RM500 hingga RM1,000.
“Memang di pihak kita ada membawa isu ini kepada kerajaan. Sekiranya kerajaan memikirkan dengan kewangan yang ada, kerajaan akan membuat sesuatu dengan gaji (anggota polis),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay selepas program Walkabout Pencegahan Jenayah di Pasar Pagi Pandamaran di Klang, hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin turut mengalukan masyarakat untuk melaporkan berkenaan salah laku pegawai polis termasuk dirinya jika didapati melanggar undang-undang.
Jelasnya, masyarakat juga mempunyai hak mereka sendiri dan perlu diambil peluang.
“Masyarakat juga ada hak daripada segi undang-undang dan perlembagaannya sekiranya mana-mana pegawai polis termasuk diri saya, sekiranya saya melanggar undang-undang saya tidak mengikut peraturan, laporkan.
“Laporkan supaya kita boleh siasat dan siasatan kita akan adil kita tidak akan ada tuduhan-tuduhan kononnya siasatan ke atas pegawai anggota polis ini kita nak selindungkan hilangkan keterangan tidak,” jelasnya.
Menurutnya, seandainya dikatakan soal gaji jadi faktor rasuah, ia boleh dilihat daripada segi peratusan jumlah anggota pangkat rendah yang terbabit rasuah.
“Kalau gaji konstabel ini sikit dan terlibat dalam rasuah, saya boleh bagi peratusannya. Namun kita juga biasa dengan berita apabila ada pengarah syarikat dan agensi pun ditangkap. Adakah gaji mereka sedikit?
“Justeru, ini lebih kepada sikap seseorang itu dan apa yang ada pada naluri mereka,” tegasnya.