Sukan

Rangkul emas acara keirin, Azizulhasni Awang terbukti masih berbisa

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang telah membuktikan dirinya masih ‘berbisa’ dan mampu menjadi pencabar di acara Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi.

Pada Sabtu, Azizulhasni atau mesra dengan julukan The Pocket Rocketman itu berjaya meraih gelaran keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Adelaide, Australia.

Pada perlumbaan di Super-Drome itu, beliau mempamerkan kayuhan bertenaga mengetepikan cabaran getir dua pelumba Jepun, Shinji Nakano dan Kaiya Ota untuk memperoleh emas pertamanya tahun ini.

Kemenangan itu sekali gus memberi mata buat Mohd Azizulhasni untuk ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Terdahulu, Azizulhasni menduduki tempat ketiga pada peringkat separuh akhir untuk mara ke pusingan akhir.

BACA LAGI: Insentif berkaitan pelepasan cukai yuran latihan sukan diumumkan sebelum Mac

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi akaun X mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni atas kejayaannya itu.

“Datuk Azizulhasni Awang telah memenangi emas acara keirin di Kejohanan Tissot UCI Nations Cup Adelaide, Australia sebentar tadi. Tahniah! #RoadToGold,” katanya.

Related Articles

Back to top button