Sarawak kini jadi rujukan dan tarikan negara luar – Abang Johari
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak perlu fokus dan memanfaatkan kekuatan tersebut memandangkan negeri itu kini menjadi rujukan dan tarikan negara luar.
Katanya, kerajaan Sarawak yakin kelebihan dalam penghasilan dan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui untuk memajukan ekonomi negeri itu sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.
“Setelah kita melakukan analisis terhadap kekuatan-kekuatan tersebut, kita dapat memberikan fokus untuk memanfaatkannya sepenuhnya. Ada yang menamakan ini sebagai kelebihan perbandingan, iaitu kelebihan terhadap pesaing kita.
“Jadi untuk Malaysia berkembang, Sarawak akan terus memberikan fokus kepada tenaga. Negeri lain mungkin mempunyai kekuatannya yang tersendiri, dan kekuatan kita adalah tenaga, jadi kita fokuskan kepada perkara ini,” katanya demikian pada Majlis Perasmian Penutupan LANDAS Summit 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.
Tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak turut melihat penggunaan teknologi data sebagai elemen penting untuk melancarkan urusan pentadbiran.
Beliau berkata, teknologi itu juga seiring dengan perkembangan global apabila banyak negara maju berpandukan data serta teknologi inovasi yang akan dapat membantu kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju jelas bagi membangunkan wilayah ini.
“Kalau disebut data dan inovasi, anda boleh menginovasikan sesuatu perkara menerusi data yang diperolehi.
“Oleh itu kita (Sarawak) harus memiliki pendekatan (teknologi data) ini,” katanya.
Turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Pada majlis itu, Abang Johari turut berkesempatan menyampaikan trofi kemenangan International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2023 kepada pemenang.