Semasa

‘Terima keputusan pengampunan Najib dengan waras’ – Shamsul Iskandar

Keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk di dalam perlembagaan Persekutusn,

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, semua pihak termasuk pemimpin politik perlu menghormati dan menerima keputusan itu secara waras.

“Mana-mana pihak tidak kira ahli politik, pimpinan, atau rakyat biasa, sudah tentu perlu kembali merujuk semula kepada peruntukkan perlembagaan. Ini kerana di dalam perlembagaan sudah pun terletak kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai contoh kuasa melantik Perdana Menteri.

“Begitu juga kuasa memberi pengampunan sudah pun ada dalam perlembagaan. Justeru kita perlu ada kewarasan, hormati undang-undang tubuh negara,” katanya ketika ditemui pemberita menziarahi keluarga mangsa pembunuhan Mila Sharmila Samsusah, 32 atau Bella di Taman Soga di Batu Pahat pada Sabtu.

Terdahulu, Urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan keputusan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu mengurangkan hukuman penjara terhadap Najib dari 12 tahun kepada enam dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

BACA LAGI: Pengampunan Najib: PM Anwar hormati keputusan Lembaga Pengampunan

Sekiranya Najib tidak menjelaskan denda itu, maka hukuman penjara bakal dilanjutkan setahun lagi.

Najib, 70, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Sementara itu, Shamsul Iskanda mengingatkan bahawa kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, berhubung pengampunan tersebut jelas.

“Dari segi kenyataan dikeluarkan jelas menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam perlembagaan untuk memberi pengampunan dalam konteks ini, Najib diberikan pengampunan

“Mesej kita kepada rakyat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melakukan tindakan sebagaimana yang dilakukan. Oleh itu, jangan timbulkan spekulasi dan cakap-cakap yang tidak menjurus fakta sebenar,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button