Politik

Hormati keputusan Lembaga Pengampunan, UMNO gesa tiada lagi ‘suara sumbang’

UMNO menuntut semua pihak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu turut menegaskan tidak mahu lagi wujud suara sumbang yang mempertikaikan keputusan itu yang dibuat berdasarkan Perlembagaan.

Tambahnya, keputusan dibuat Lembaga Pengampunan adalah tertakluk kepada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Kita menjunjung kasih titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan sebagai institusi yang sentiasa membela dan mempertahankan Raja Melayu, kita menghormati keputusan yang dibuat.

“Ini kerana Perlembagaan menyatakan ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh dipertikaikan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita harap jangan ada suara sumbang di luar sana yang mempertikaikan apa yang diputuskan Yang di-Pertuan Agong terdahulu dalam konteks Lembaga Pengampunan,” katanya dipetik laporan sebagai mengulas perkembangan semasa.

BACA LAGI: Hukuman Najib dikurangkan: PM Anwar hormati keputusan Lembaga Pengampunan

Sementara itu tambahnya, walaupun UMNO menghormati keputusan itu, namun semua pemimpin parti di peringkat bahagian sepakat untuk meneruskan pembelaan terhadap Najib seperti ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh itu adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

Related Articles

Back to top button