Semasa

KKM bakal bendung penggunaan ‘energy stick’- Menteri Kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan segera bagi membendung penggunaan produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai ‘Energy’ Stick’.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, arahan sudah diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai perkara itu susulan aduan diterimanya.

“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya selepas hadir ke program bersempenan Hari Kanser Sedunia 2024 di Kuala Lumpur semalam.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi Facebook baru-baru ini menyiarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan produk dikenali sebagai ‘Energy Stick’.

Produk itu yang mempunyai dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru mula popular di kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

“Produk penyedut hidung ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna.

“Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik.

“Ada penjual menggunakan ‘tagline’ ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’,” katanya.

BACA LAGI:KKM masih tunggu perincian skim baharu penjawat awam

Pengambilan produk itu disifatkan sama seperti pengambilan dadah melalui hidung ‘snorting’ dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.

Dari segi perubatan, pengambilan bahan kimia melalui hidung menyebabkan kerosakan mukus di dalam rongga hidung, luka, pendarahan dan jangkitan.

Justeru, PHM meminta supaya penjualan dan pembelian produk itu dihentikan segera.

Related Articles

Back to top button