Umum

Lawatan perjumpaan keluarga penghuni dibenarkan sempena perayaan Tahun Baru Cina

Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan keluarga penghuni sempena perayaan Tahun Baru Cina pada 12 dan 13 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan kepada keluarga semua penghuni penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney, dengan keutamaan diberi kepada penghuni kaum Cina.

Menurutnya, terdapat dua kaedah perjumpaan iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (panggilan video).

Kata jabatan terbabit pertemuan kaedah dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari mulai 14 hingga 16 Februari 2024.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang, membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (olesan/air ludah) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala serta perlu membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan.

“Selain itu, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni serta tidak digalakkan memberi wang kepada memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara,” kata kenyataan itu.

Jabatan terbabit turut memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu menerusi tempahan iaitu Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan mereka perlu menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button