Negeri Sembilan bangunkan dua tapak campervan, tawar produk baharu pelancongan
Pantai Port Dickson kini mempunyai tapak campervan khususnya bagi peminat kenderaan rekreasi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Tapak Capervan di Pantai Batu 5 berkata, kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM500,000 bagi pembinaan dua tapak campervan termasuk di Taman Eko-Rimba Lenggeng.
Tapak tersebut yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas selaras usaha kerajaan negeri menarik lebih banyak kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa sejajar dengan kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pembinaan produk pelancongan baharu.
“Tapak campervan ini boleh memuatkan sebanyak 12 kenderaan dalam satu masa. Bagi peringkat permulaan tapak ini akan dibuka pada setiap hari dan tiada bayaran dikenakan selama tiga bulan pertama bermula Disember 2023 sehingga bulan ini.
“Penyediaan tapak campervan ini untuk menyediakan tempat yang selamat dan selesa kepada peminatnya untuk berkumpul dan melakukan aktiviti riadah berkonsepkan perkhemahan berkenderaan bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Usaha ini juga dapat menarik permintaan baharu dalam industri pelancongan domestik. Kerajaan negeri akan mempergiatkan lagi usaha penganjuran pelbagai aktiviti dan pengukuhan produk pelancongan sedia ada, pembinaan produk baharu bagi menarik lebih banyak kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa,” jelasnya.
BACA LAGI: Negeri Sembilan peruntukkan RM11.8 Juta untuk perkasa sektor pendidikan
Aminuddin sementara itu berharap pengunjung di setiap pantai di Port Dickson menghargai prasarana yang di sediakan di sini dan tidak memasang khemah kecuali di tempat yang dibenarkan.
“Di tapak campervan ini tidak dibenarkan memasang khemah atau meletakkan kenderaan berhampiran pantai kecuali di tempat yang disediakan ini demi keselamatan orang ramai dan untuk keselesaan pengunjung lain,” katanya.