Negeri

Selepas jagung bijirin, Selangor intai potensi tanaman vanila

Selepas projek penanaman jagung bijirin, kerajaan Negeri Selangor kini sedang meneroka potensi produk pertanian lain yang mampu memberi keuntungan.

EXCO pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata, kerajaan negeri akan mengusahakan tanaman vanila di negeri itu berikutan produknya memberi pulangan lumayan sekali gus menjamin keuntungan kepada sektor ekonomi negeri.

“Vanila boleh diproses dalam bentuk pes, serbuk atau cecair dan banyak digunakan untuk bahan asas produk hiliran seperti aiskrim, kek termasuk kosmetik. Harga sekilo serbuk vanila mencecah hampir RM3,000 dan jenis cecair lebih tinggi nilainya.

“Rancangan ini akan dijayakan menerusi pertanian bernilai tinggi bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA). Kita akan jalankan kerjasama dengan Amani Vanilla Temerloh (AVT) untuk projek rintis,” kata ADUN Pandan Indah itu.

Pada Julai 2022, Izham memaklumkan pelaksanaan PeTA bagi menjamin bekalan makanan rakyat serta meningkatkan hasil pengeluaran tani dengan memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Jelasnya PeTA menekankan lima asas meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.

BACA LAGI: Selangor cadang jalin kerjasama tanaman jagung bijirin di negeri lain

Bulan lalu, Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menuai 118 tan hasil pertama projek jagung bijirin berkualiti tinggi yang dilancarkan negeri itu pada tahun lalu.

Tuaian di kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar itu adalah bagi fasa pertama dan dijangka hasil jagung bijirin itu terus meningkat.

Susulan itu, Kerajaan Selangor sedang berusaha menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri lain untuk mengembangkan projek penanaman berkenaan.

Related Articles

Back to top button