Nasional

7,457 kes kanak-kanak perlu pemeliharaan, perlindungan – Menteri

Sejumlah 7,457 kes dilaporkan di seluruh negara bagi bulan Januari hingga November 2023 membabitkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 328 kes direkodkan di negeri Melaka.

Katanya, di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengendalikan seramai 1,895 warga emas untuk mendapatkan perlindungan, penjagaan dan pemulihan di seluruh negara sehingga Disember 2023.

“Dalam usaha untuk membendung peningkatan kes-kes seumpama ini, Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) amat penting sebagai rakan strategik bagi membendung peningkatan kes-kes seumpama ini dan membantu menyantuni kumpulan sasar kementerian.

“Untuk rekod, JKM mengendalikan 10 institusi penjagaan warga emas yang terdiri daripada lapan buah Rumah Seri Kenangan (RSK) dengan kapasiti seramai 1,640 penghuni dan dua buah Rumah Ehsan (RE) dengan kapasiti seramai 255 penghuni,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Nancy telah menyempurnakan pelancaran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: K.A.S.I.H Kanak-Kanak Peringkat Negeri Melakabertempat di Sekolah Kebangsaan Lesong Batu, Alor Gajah, Melaka.

Jelas beliau, program yang dilaksanakan itu adalah antara usaha berterusan kementerian dalam menggerakkan semua anggota masyarakat agar bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak.

“Ia menjadi platform kepada masyarakat khususnya guru-guru, PIBG dan komuniti setempat untuk membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

“Dalam program ini kanak-kanak juga didedahkan berkenaan hak-hak mereka dan saluran bantuan segera Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp 019-2615999 sebagai saluran aduan bagi kes-kes melibatkan mereka,” ujarnya.

Ini kerana katanya, isu penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh.

Related Articles

Back to top button