Anwar

Jalankan tanggungjawab dengan amanah agar bantuan kepada rakyat dapat ditingkatkan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada warga Kementerian Kewangan (MOF) untuk giat meneruskan amanah bagi meningkatkan kesejahteraan dan tahap kebajikan rakyat.

Menurutnya, sekiranya menjalankan tanggungjawab dengan amanah untuk meningkatkan hasil negara, maka bantuan kepada rakyat akan dapat ditingkatkan.

Beliau berkata, ini termasuk meningkatkan bantuan kepada pekebun kecil getah, pesawah padi, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Sebagai contoh, SARA telah digandakan bayarannya sementelahan jumlah penerima melonjak kepada 700,000 ketimbang 210,000 tahun lepas.

“Bayaran maksimum STR dinaikkan hampir 20 peratus kepada RM3,700 dengan 9 juta rakyat berkelayakan menerima bantuan program ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Terdahulu, Anwar menghadiri majlis Amanat dan Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini di Putrajaya.

Sementara itu, beliau berkata, Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluran Getah pula ditambah baik kepada RM3 berbanding RM2.70 pada tahun lalu.

“Kebajikan pesawah padi kita juga tidak dilupa dengan usaha meningkatkan kadar skim subsidi dan harga lantai belian padi,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penjawat awam dan warga MOF yang secara umumnya taat melunaskan tanggungjawab mereka.

Related Articles

Back to top button