Uncategorized

Persempadanan kawasan Selangor, Kuala Lumpur dimuktamadkan pada 2025 – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan pada 2025.

Melalui satu disang media di Shah Alam pada Isnin Amirudin berkata, langkah penetapan sempadan itu langkah penting kerana ia membabitkan kutipan serta pembayaran cukai, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyelenggaran utiliti antara kedua-dua negeri berkenaan.

Tambahnya, penetapan persempadanan kawasan itu merupakan proses rumit kerana melibatkan premis dan kawasan yang telah tepu bina berbanding kawasan hutan serta pertanian seperti yang pernah ditandatangani kerajaan Selangor bersama Pahang dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Sekarang ini (ada kawasan) yang telah bercantum di antara kedua-duanya (Selangor dan Kuala Lumpur). Kalau kita lihat Cheras, ada yang menanyakan Cheras mana sama ada Kuala Lumpur atau Kajang (Selangor) dan orang keliru. Jadi lebih baik persempadanan dibuat bagi menyelesaikan kepentingan antara kedua-dua negeri.

“Setakat ini, sebanyak 19 lokaliti telah dibincangkan dalam persempadanan berkenaan termasuk Gombak, Ampang dan Hulu Langat. Namun, mungkin ada dua atau tiga lagi lokaliti,” katanya.

BACA LAGI: Ahli Parlimen PN rasa tertipu dengan janji ‘tebuk atap’

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan wakil agensi negeri masing-masing bagi membincangkan mengenai persempadanan kedua-dua negeri itu.

Amirudin sementara itu memaklumkan, persempadanan kedua-dua negeri itu akan menjadikan perjanjian lama seperti Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan Persekutuan dan beberapa perjanjian lain sebagai panduan.

“Dulu tiada ukur tentu halus tetapi sekarang ini perlu ditetapkan sebetulnya supaya sah dan tepat. Insya-Allah, kedaulatan setiap tapak dan inci bagi tanah di kedua tempat ini akan dipelihara.

“Sebelum ini, kita telah tandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) berhubung persempadanan ini. Sebelum MoU ketiga ditandatangani, kita akan bawa (isu persempadanan) kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) dan dipersembahkan kepada Sultan Selangor bagi pihak negeri,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button