Negeri

Projek Landasan Berkembar Tren Elektrik bakal beri manfaat langsung untuk penduduk Gemas

Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap sepenuhnya April 2025, diyakini memberi impak positif dalam memacu pembangunan daerah ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yakin Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka siap sepenuhnya April 2025 akan memberi impak positif dalam memacu pembangunan daerah Gemas.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Daerah Tampin pada Isnin, Aminuddin berkata, ia akan menjadi tumpuan memandangkan kedudukannya yang bersebelahan dua buah negeri lain.

“Sesuai dengan kedudukannya yang bersempadan antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, ia akan menjadi tumpuan masyarakat dari negeri jiran sekiranya mempunyai tarikan dan kemudahan yang terbaik dan menarik.

“Tampin akan terus membangun dengan baik apabila projek ini siap menjelang tahun hadapan sekali gus bakal memberi impak yang tinggi kepada kepentingan penduduk daerah itu,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim serta Pegawai Daerah Tampin, Mohd Fadhil Hassan itu.

Projek landasan berkembar sepanjang 192 kilometer itu, akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan bergerak selaju 140 kilometer sejam dengan anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah 3 jam 30 minit.

BACA LAGI: Negeri Sembilan bangunkan dua tapak campervan, tawar produk baharu pelancongan

Aminuddin memaklumkan, ia kini sudah 92 peratus siap dan apabila siap kelak ia membolehkan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dihubungkan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor.

Sementara itu beliau yang juga ADUN Sikamat itu turut memaklumkan, Tampin pernah diiktiraf oleh PlanMalaysia sebagai daerah paling bahagia dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 dengan peratus paling tinggi iaitu 99.5 peratus.

Beliau berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung meletakkan satu jenama yang ada pada daerah ini dan perlu dipertahankan melalui pembangunan yang menjurus kepada usaha meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan di setiap komuniti.

“Walaupun Tampin bukanlah bandar besar, tapi kerajaan negeri tidak mahu ia ketinggalan berbanding dengan bandar lain di negara ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button