Nasional

Semua terbabit kes Spanco termasuk bekas PM akan disiasat – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semua yang terbabit dalam membuat keputusan penganugerahan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd pada 1990-an.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka termasuk seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu akan dipanggil SPRM.

Beliau berkata, keterangan daripada semua yang terbabit itu perlu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Kita akan panggil sesiapa saja yang membuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk memberi projek kepada Spanco.

“Kita lihat sejarah penubuhan syarikat itu pada 1998 atau 1999, jadi sesiapa saja yang terbabit ketika itu termasuk perdana menteri dan menteri kewangan akan panggil untuk rekod kenyataan dan mengetahui apa yang mereka tahu berkenaan kes,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Spanco menjadi syarikat tunggal yang memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan sejak 1993.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan Spanco sebagai hanya merugikan negara dan berjanji tindakan penguatkuasaan tegas termasuk oleh SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, dalam memerangi rasuah dan penyelewengan.

Beliau memetik kes Spanco sebagai contoh antara usaha kerajaan membasmi rasuah.

Isu membabitkan Spanco menjadi perhatian apabila media melaporkan tindakan SPRM menyiasat sebuah syarikat yang memperoleh kontrak membekal dan menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Related Articles

Back to top button