World Defense Show 2024 beri peluang Malaysia perkasa kerjasama strategik
Malaysia berpeluang untuk menerokai bidang kerjasama strategik dalam bidang keselamatan serta mengukuhkan kerjasama sedia ada terutamanya dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada World Defense Show (WDS) yang berlangsung mulai 4 hingga 8 Februari 2024 di Riyadh, Arab Saudi adalah untuk mengukuhkan kerjasama strategik dari seluruh dunia.
“Pameran World Defense Show di bawah pimpinan Putera Mahkota Mohammad bin Salman ini bertujuan mengetengahkan pembangunan teknologi terkini dari seluruh dunia dalam bidang ketenteraan, pertahanan dan keselamatan.
“Menjalin rangkaian kerjasama, berkongsi pengetahuan dan keupayaan baharu merentasi semua aspek pertahanan dan keselamatan,” kata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam lawatan ini, Saifuddin dan delegasi KDN dapat melihat dan berinteraksi bersama peneraju syarikat-syarikat pengeluar teknologi pertahanan terkemuka dunia dalam usaha meningkatkan teknologi pertahanan dan keselamatan negara.
Beliau turut berkesempatan mengadakan lawatan ke lokasi pameran yang melibatkan syarikat Arab Saudi, China, Korea Selatan dan Turkiye.
Turut hadir pada WDS 2024 ialah TYT Datuk Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Azmi Abu Kassim serta pegawai kanan kementerian yang lain.