Angkasa yakin lebih banyak koperasi sekolah mampu tingkat perolehan menjelang akhir tahun
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin lebih banyak lagi koperasi sekolah mampu meningkatkan perolehan sehingga RM2 juta menjelang akhir tahun ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu boleh dicapai susulan kejayaan 26 koperasi sekolah mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta.
“Kejayaan itu membuktikan kemampuan koperasi sekolah mengurus perniagaan berimpak tinggi dalam meningkatkan perolehan dan memberi keuntungan kepada anggotanya,” katanya dalam Majlis Perasmian Penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS), Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) Dan Ikon Koperator Muda 2023 Peringkat Kebangsaan di Subang, Selangor.
Tambah beliau, perolehan memberangsangkan ini turut menerima pengiktirafan oleh Kementerian Pendidikan sebagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara sekali gus membantu sekolah menguruskan aktiviti ko-kurikulum serta pembangunan sekolah khususnya melalui tabung khas yang diwujudkan oleh koperasi.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang hadir menyempurnakan majlis tersebut turut berharap agar koperasi sekolah tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan agar seiring dengan hala tuju kementerian itu berkaitan elemen digital.
Setakat ini, terdapat 2,485 koperasi sekolah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang berjaya mencatatkan perolehan RM227.98 juta sehingga Jun 2023.
Kata Fadhlina, koperasi sekolah merupakan platform paling lengkap yang menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar tatacara berniaga, bergerak sebagai usahawan, mentadbir dan mengurus serta mendapatkan kemahiran insaniah lain yang tidak diajar dalam bilik darjah.
“Peningkatan minat anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sewajarnya didorong dengan ilmu dan kemahiran yang boleh membantu mereka untuk menjadi lebih berdaya maju dan berdaya saing.
“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang seperti disasar di bawah lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025,” katanya.