Sukan

Jurulatih negara nikmati kadar gaji baharu

Jurulatih yang berada di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) boleh menarik nafas lega apabila bakal menikmati kadar skim gaji dan imbuhan baharu.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata, mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN dipengerusikannya pada Selasa bersetuju untuk meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK).

Penyelarasan itu jelasnya berkuatkuasa bermula 1 Januari 2024.

Susulan keputusan itu, jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan pelapis kebangsaan kini akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

“Kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 – kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) – bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan itu.

“Bagi menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.

“Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat pada Sukan Olimpik atau Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan, manakala pencapaian pingat pada kejohanan dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan pelapis kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman atau pelepasan oleh majikan), manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.

“Penyelarasan terhadap SPJK ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014,” tambah Hannah.

BACA LAGI: KBS salur sokongan, majukan sukan sepak takraw – Adam Adli

Difahamkan, kali terakhir disemak mengenai pindaan penetapan tangga gaji jurulatih-jurulatih dibuat pada 2014.

Hammah berkata, jika perkara tersebut tidak dibuat. kemungkinan Malaysia bakal kehilangan jurulatih terbaik yang akan ke luar negara selepas ini.

Related Articles

Back to top button