Semasa

Kenderaan berat dilarang guna jalan raya empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina – JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Selasa mengeluarkan arahan melarang kenderaan berat menggunakan jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata larangan bermula 8, 9, 12 dan 13 Feb itu bertujuan bagi memastikan kelancaran trafik bagi mereka yang hendak pulang ke kampung atau bercuti.

“Tindakan tegas akan dikenakan bagi mana-mana syarikat atau individu yang tidak mematuhi larangan berkenaan,” katanya.

Lokman berkata begitu dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional Ekspress di Kajang pada Selasa.

Mengulas mengenai pemeriksaan itu, beliau memaklumkan pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 361 buah bas ekspres di 54 depoh di seluruh negara sejak Sabtu lepas.

Melalui pemeriksaan itu, sebanyak 12 bas ekspres telah diambil tindakan dan 10 lagi dikenakan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) kerana melanggar peraturan teknikal yang ditetapkan.

BACA LAGI: MOT bakal tanggung caruman Perkeso untuk 40,000 pemandu teksi

Lokman berkata selain pemeriksaan teknikal dan layak untuk dipandu di jalan raya yang melibatkan sistem brek, tayar, lampu, dokumen kenderaan dan pemandu, turut dijalankan pemeriksaan terhadap status saman pemandu dan syarikat bas.

“Pemeriksaan ini dijalankan secara berterusan sepanjang musim cuti persekolahan ini,” katanya sambil menegaskan JPJ memandang serius dan tidak berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Related Articles

Back to top button