Negeri

Kerajaan MADANI lulus peruntukan pembangunan RM2.81 bilion untuk Kelantan

Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM2.81 bilion bagi negeri Kelantan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, peruntukkan dibawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu meliputi pelaksaan 92 projek baharu yang diluluskan pada tahun ini.

“Pada tahun 2023, kerajaan memperuntukan sejumlah RM2.57 bilion untuk pelaksanaan 454 projek bawah peruntukan pembangunan RP3 bagi negeri Kelantan.

“Tahun ini, peningkatan peruntukan sebanyak RM0.24 bilion dengan jumlah keseluruhan sebanyak 425 projek dilaksanakan di negeri ini,” katanya bersempena Majlis Makan Malam Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM, di Kota Baharu pada Isnin.

Teks ucapan Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafizah Mustakim.

Sementara itu tambah Nik Nazmi, Kementerian Kerja Raya (KKR) mencatat jumlah peruntukan pembangunan terbesar pada tahun ini iaitu RM0.8 bilion dengan melibatkan 32 projek bernilai RM4.79 bilion.

Projek-projek utama di bawah KKR jelasnya, termasuklah enam pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dan sembilan pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Krai ke Gua Musang.

BACA LAGI: Kerajaan PAS Kelantan ucap terima kasih kepada PM Anwar

Selain itu, kerajaan juga meluluskan fasa baharu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) membabitkan kos RM1.06 bilion bagi Fasa 2 Sungai Kelantan dan RM0.5 bilion bagi Fasa 3 Sungai Golok.

“Secara terkumpul, sebanyak 13 projek berkaitan banjir diluluskan di Kelantan dengan kos keseluruhan RM3.83 bilion pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Saya berharap semua pihak khususnya agensi pelaksana dapat memastikan projek-projek berjalan lancar dan mengelak sebarang masalah yang boleh menyebabkan kelewatan selain saya sendiri akan memastikan keseluruhan projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.

Related Articles

Back to top button