PM Anwar ucap takziah susulan pemergian lagenda bola Khalid Ali
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan dukacita susulan berita pemergian lagenda bola sepak tanah air, Allahyarham Khalid Ali yang menghembuskan nafas terakhir petang semalam.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya Anwar berkata, terkenang kehebatan Allahyarham ketika menyarung jersi kebangsaan, terutama ketika membantu skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow.
Melalui hantaran itu, beliau turut mengucapkan penghargaan atas jasa dan usaha Allahyarham mengharumkan nama negara dalam bidang sukan dan menyampaikan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.
“Terima kasih atas jasa dan usaha mengharumkan nama negara.Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
“Moga keluarga Allahyarham sabar dan tabah,” tulis beliau.
Allahyarham yang berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 3.05 petang tadi.
Berita mengejutkan itu dikongsi sendiri oleh adiknya Datuk Zainal Abidin Hassan, yang turut memaklumkan Allahyarham meninggal akibat kanser paru-paru.
Terdahulu, media turut melaporkan beliau pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, Khalid turut bersama skuad Harimau Malaya pada kelayakan Sukan Olimpik Moscow.