Tol percuma 2 hari di kesemua lebuh raya sempena sambutan Tahun Baru Cina 2024
Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada semua kenderaan persendirian pada 8 dan 9 Februari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu bagi meraikan seluruh Malaysia terutamanya masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di semua lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pengecualian tol itu meliputi semua kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini,” katanya.
Menurut Alexander, dengan pelaksaan pemberian tol percuma ini diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya.
“Pengguna dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau ‘travel time advisory’ (TTA) yang disyorkan.
“Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang di kemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Facebook atau X secara berkala,” katanya.