Semasa

DOSM yakin sasaran 3 juta individu daftar PADU mampu dicapai

Seramai 2.69 juta individu sudah membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di seluruh negara setakat Selasa,

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dipetik laporan Bernama berkata, sejak dilancarkan 2 Januari lalu, Sarawak, Selangor, Johor, Perlis dan Kelantan telah merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi

“Seramai 191,078 atau 15 peratus penduduk Kelantan telah mendaftar PADU.

“Selain itu pendaftaran tinggi turut direkodkan di Johor iaitu 270,000 orang dan lebih 100,000 di Perlis, Sarawak dan Selangor juga merekodkan jumlah pendaftaran yang tinggi,” katanya selepas mengadakan tinjauan proses pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai di Bachok pada Rabu.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Antara lain, sistem itu akan memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

Sementara itu Mohd Uzir berkata, pihaknya berkeyakinan sasaran tiga juta individu untuk mendaftar PADU akan dicapai dalam tempoh masa terdekat.

BACA LAGI: KKDW bakal bantu masyarakat luar bandar daftar PADU secara manual

Bagi tujuan itu jelasnya, sebanyak 911 PEDI seluruh negara turut menyediakan perkhidmatan membantu penduduk membuat kemas kini dalam sistem PADU.

“Pendaftaran PADU akan dibuka sehingga 31 Mac depan, berdasarkan gerak kerja yang dilaksanakan kami yakin dalam tempoh sebulan lebih ini, tahap kesedaran mengenai PADU semakin tinggi dan pendaftaran akan terus meningkat.

“Saya melihat bila angka pendaftaran semakin meninggi orang yang berdaftar itu akan memberi penerangan kepada yang lain sebab mereka akan saling bertanya,” katanya.

Related Articles

Back to top button