Sukan

Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia 2024 milik TNB

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menebus kekecewaan dua tahun berturut-turut apabila mengalahkan juara bertahan, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 menerusi penentuan penalti untuk merampas Piala Sumbangsih 2024 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berkenaan, TNB menyekat misi THT untuk gelaran hatrik apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh 60 minit perlawanan sebelum diheret ke penentuan penalti.

THT menewaskan TNB dua kali dalam aksi Piala Sumbangsih, masing-masing menang 3-2 pada edisi 2022 dan 4-3, tahun lepas.

Pada perlawanan malam tadi, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada awal perlawanan untuk memburu jaringan namun TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan Jang Jong Hyun pada minit ketiga.

TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-24 apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak jaringan padang namun THT marapatkan jurang menerusi ledakan jaringan padang yang dicipta Mohd Fitri Saari pada minit sama.

THT di bawah jagaan jurulatih Mohd Harfizi Baharom kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok yang dihasilkan Mohd Fitri pada minit ke-49 dan keputusan kekal 2-2 seterusnya mengheret kepada penentuan penalti.

Jaringan gol penentuan ‘shoot-out’ oleh Muhammad Shahril Saabah, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi serta Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menjulang TNB selaku juara Piala Sumbangsih 2024.

Keputusan pada aksi pembuka tirai itu memberikan kedua-dua pasukan satu mata untuk misi memburu gelaran liga musim ini.

Sementara itu, Perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita menyaksikan juara bertahan Negeri Sembilan (NSE) gagal mempertahankan kemenangan apabila ditundukkan Malaysian University 3-0 menerusi penentuan penalti.

Malaysian University sebelum itu berjaya mengikat NSE 2-2 dalam 90 minit perlawanan.

Perlawanan itu menjadikan kedua pasukan NSE dan Malaysian University meraih satu mata pertama untuk memulakan kempen liga musim ini.

Related Articles

Back to top button