Mahkamah

16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan terbatal, tidak sah

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan berkenaan dicapai melalui panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan di mana keputusan penghakiman dengan majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Tengku Maimun sekali lagi mengingatkan apa yang dicabar oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin itu bukanlah mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Sebaliknya jelas Tengku Maimun, yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit.

“Kuasa Parlimen dan DUN dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka,” kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan bagi pihak majoriti.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Nik Elin dan anaknya selaku pempetisyen diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Negeri Kelantan dinamakan selaku responden tunggal, diwakili peguam Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif.

Related Articles

Back to top button