Negeri

El-Nino: Selangor punyai rezab air untuk 9 bulan

Susulan fenomena El Nino yang sedang melanda negara, Selangor memaklumkan mempunyai simpanan bekalan air yang mampu menampung keperluan penduduknya untuk tempoh kira-kira sembilan bulan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim berkata, kesemua empangan di negeri itu mempunyai kapasiti simpanan untuk tempoh enam bulan, manakala kolam takungan air mampu membekalkan sumber bagi tempoh tiga bulan.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek pemuliharaan Sungai Klang di Shah Alam pada Khamis. beliau berkata Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung.

“Ini bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah melalui laporan media berkata, fenomena El-Nino yang bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.

Jelasnya fenomena itu yang kuat boleh menyebabkan pengurangan taburan hujan dan peningkatan suhu udara di negara kita berbanding daripada kelaziman.

BACA LAGI: Selangor ambil langkah susulan, pastikan pengguna tidak terlalu terkesan pelarasan tarif air

Sementara itu, Izham ketika mengulas usaha pemuliharaan oleh kerajaan Selangor itu berkata, ia sejajar dengan kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.

“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.

Projek pemuliharaan Sungai Klang merangkumi kerja pendalaman dan pelebaran 56km Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing dan pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 melibatkan kos RM700 juta.

Kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40% apabila siap sepenuhnya.

Related Articles

Back to top button