Sukan

KBS anjur sesi meja bulat, galak pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Khamis mengadakan sesi meja bulat bagi menggalakkan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, sesi tersebut disertai 28 pemegang taruh sukan bagi mendapatkan pandangan, idea serta maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk daripada agensi kerajaan, sektor swasta, badan sukan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Antara pemegang taruh sukan yang terlibat termasuk Persatuan Karom Malaysia (KAROMAS), Persekutuan Renang Malaysia (MS), Persatuan Woodball Malaysia (MWA) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“KBS sedang mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan sukan sekali gus memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental mereka (warga emas) terpelihara.

“Usaha KBS ini selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit serta diharap dapat kurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara KBS di Putrajaya.

BACA LAGI: KBS kerjasama dengan pusat beli-belah, pergiat promosi sukan

Katanya KBS dalam masa sama akan mula memberi fokus kepada dana untuk mewujudkan pelbagai program bagi membantu warga emas kekal aktif.

“Ini bukan sahaja usaha diketengahkan KBS bahkan melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Harapan saya kita bukan sahaja dapat kurangkan perbelanjaan untuk warga emas tapi mereka juga akan mempunyai gaya hidup sihat,” tambahnya yang turut menjelaskan bahawa sesi seperti itu menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).

Related Articles

Back to top button