Anwar

Kerajaan Perpaduan tidak terlibat keputusan kes Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan – PM Anwar

Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 hari ini tiada kena mengena dengan Kerajaan Perpaduan.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu sebaliknya dibuat berdasarkan kuasa yang ada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini dalam keputusan cukup jelas, ia tiada kena mengena dengan syariah, ia tentang kuasa negeri.

“Misalnya, Dewan Undangan Negeri bulan depan Ketua Menteri buat beberapa undang-undang baharu, yang bercanggah dengan kuasa negeri dan kuasa Perlembangaan Persekutuan.

“Maka, (ia) boleh dirujuk, (sekiranya) Mahkamah Persekutuan dapati bercanggah, (ia) akan membatalkan.

“(Ia) tidak kira tajuk apa pun ada kuasa persekutuan, ada kuasa negeri,” katanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Related Articles

Back to top button