Pemilik stesen minyak perlu bertanggungjawab, jangan jual RON95 kepada kenderaan asing – Fuziah
Timbalan Menteri Perdangangan Dalam Negeri (KPDN), Fuziah Salleh memberi peringatan kepada pemilik stesen minyak agar tidak lagi menjual petrol RON95 kepada kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran asing.
Menurutnya, pemilik sudah maklum arahan dikeluar kerajaan yang menetapkan hanya membenarkan kenderaan tempatan sahaja membeli bahanapi bersubsidi itu.
“Pemilik stesen minyak berkenaan sepatutnya boleh menghalang pembelian itu.Kalau mereka sendiri tak halang, kita boleh ambil tindakan terhadap pemilik (stesen minyak) terbabit,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya dekat Air Putih, Kuantan.
Beliau sebelumnya diminta mengulas satu rakaman video yang memaparkan kenderaan dipercayai dari negara jiran mengisi RON95 di sebuah stesen minyak yang tular awal bulan lalu.
“Kepada yang rakam dan viral video itu, KPDN ucapkan terima kasih.
“Cuma kalau boleh mereka juga buat aduan terus kepada KPDN supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pemilik stesen minyak terbabit,” tambahnya.
BACA LAGI: Subsidi bersasar pastikan bekalan barang keperluan cukup di pasaran – Timbalan Menteri
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey baru-baru ini dilaporkan berkata siasatan dijalankan pihaknya selepas menerima aduan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand mengisi RON 95 di sebuah stesen minyak di negeri itu.
Jelasnya pemilik premis iaitu lelaki berusia lingkungan 40-an sudah diberi notis arahan bagi mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Difahamkan, sejak 2010 kerajaan sudah menetapkan hanya kenderaan menggunakan nombor pendaftaran tempatan sahaja layak membeli RON95.
Pengusaha stesen minyak menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan termasuk motosikal bernombor pendaftaran asing boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Mengikut akta itu, pemilik stesen minyak terbabit berdepan penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat pula berdepan denda tidak melebihi RM2 juta.