PM Anwar ingatkan penjawat awam, jawatan bukanlah satu keistimewaan
Dalam perkhidmatan awam, terdapat beberapa peranan yang perlu dilakukan oleh kakitangan dalam menjayakan misi sesuatu perkhidmatan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pelantikan seseorang sebagai penjawat awam adalah satu pertanggungjawaban dan bukanlah satu keistimewaan.
“Soal kebijaksanaan dan amanah harus dijulang seiring dengan sistem nilai tanpa melibatkan hasad dengki, nafsu serakah membolot kekayaan hatta dendam kesumat tiada penghujungnya,” katanya.
Menurut beliau, peranan itu tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk mewujudkan kerja yang berkualiti dan sekali gus memperbaiki kecekapan masing-masing.
Terdahulu, Anwar berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam Melaka yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, hari ini.
Katanya, dunia pada hari ini menuntut pentadbiran termasuk kerajaan negeri yang didukung oleh penjawat awam untuk lebih ke hadapan dengan pembaharuan teknologi tanpa melupakan nilai jati diri dan kemahiran insaniah seseorang.