PM Anwar terima kunjungan sahabat lama, Prof Emeritus Ahmat Adam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis meluangkan masa menerima kunjungan tokoh sejarawan, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam.
Melalui satu perkongsian di laman Facebooknya, Anwar memaklumkan pertemuan dengan sahabat lamanya itu berlangsung di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, Putrajaya
Tambah Anwar, beliau dan Dr Ahmat dalam pertemuan itu sempat mengimbau kenangan ketika sama-sama berada di Universiti Malaya.
“Di akhir pertemuan, Prof Ahmat hadiahkan dua karya berjudul ‘Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa Yang Dibaca Selama ini?’ dan ‘Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia’,” katanya dalam catatan tersebut.
BACA LAGI: Ibrah dari peristiwa Israk Mikraj harus bugar sepanjang zaman – PM Anwar
Selain pakar sejarah, Dr Ahmat juga merupakan felo penyelidik di Oxford Centre for Islamic Studies dan juga terlibat dalam Projek Maritime Silk Roads oleh Unesco.
Difahamkan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 15 buah buku yang diterbitkan di dalam dan di luar negara.