Semasa

Sudah masanya tatacara kehakiman mahkamah syariah diselaras semula – Menteri Agama

Sudah tiba masanya untuk tatacara kehakiman dan perundangan mahkamah syariah di seluruh negara ini diselaraskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar bagaimanapun berkata, tatacara yang akan dipinda disarankan lebih bersifat mesra pengguna dan berbentuk kekeluargaan terutamanya dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah.

“Saya meminta supaya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai agensi menyelaras tatacara mahkamah syariah untuk meneliti tatacara berkenaan supaya ianya lebih mesra dan lebih berbentuk kekeluargaan,” katanya selepas melancarkan Produk Wakaf Takaful Ajwad di Putrajaya pada Khamis.

Na’im yang juga mantan Ketua Hakim Syarie sementara itu berkata, beliau menyedari keadaan di mahkamah syariah yang kurang mesra terhadap pengguna ketika berkhidmat di JKSM.

“Macam sekarang kalau bila masuk mahkamah, orang takut dengan hakim dan sebagainya,” katanya.

BACA LAGI: PM Anwar dukung penuh peringatan Sultan Selangor terkait hal ehwal agama Islam

Sementara itu, beliau turut menjelaskan tatacara kehakiman dan perundangan mahkamah syariah adalah berbeza dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 atau dikenali Akta 355 yang sebelum ini dicadangkan untuk meningkatkan bidang kuasa dalam jenayah mahkamah syariah.

“Pindaan tatacara secara menyeluruh lebih penting sebab nak naikkan martabat mahkamah syariah, bukan sahaja dalam konteks bidang kuasa tetapi agar mahkamah syariah lebih dihormati,” katanya.

Pada Rabu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang dipetik laporan media berkata, prosedur dan tatakelola yang tidak seragam di beberapa negeri agak meletihkan dan memenatkan pengamal undang-undang mahkamah syariah dan wajar diselaraskan semula.

Related Articles

Back to top button