Semasa

YADIM yakin keputusan kes petisyen Nik Elin tak lemahkan mahkamah syariah

Sebarang keputusan mengenai kes petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan melemahkan mahkamah syariah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus melalui satu kenyataan menegaskan, sebarang keputusan kes itu sebaliknya akan memberikan satu titik kepastian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal sesuatu undang-undang berkaitan agama Islam.

“Keputusan itu juga akan memastikan Mahkamah Syariah akan berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus akan mengelakkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah dicabar pada masa hadapan.

“YADIM percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pagi ini dijangka akan membuat keputusan terhadap permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Melalui permohonannya, kedua-dua pempetisyen memberi alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah bertindak melangkaui bidang kuasa dan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

BACA LAGI: Pas hanya sedar petisyen Nik Elin selepas tak lagi jadi kerajaan?

Keputusan itu dijadual disampaikan di mahkamah terbuka oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim.

Sementara itu Hasanuddin berkata, beliau yakin para hakim yang menganggotai panel hakim kes ini juga telah berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan prinsip Perlembagaan

Malah Perlembagaan itu sendiri telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
.
“YADIM percaya bahawa isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip Federalisme yang mana Mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Dewan Undangan Negeri,” jelasnya.

Melalui kenyataan sama Hassanuddin berkata, YADIM sebagai sebuah institusi dakwah percaya Majlis Raja-Raja bersama dengan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan proaktif selepas daripada keputusan kes untuk memastikan pentadbiran agama Islam berada di landasan yang tepat menurut undang-undang dan Perlembagaan negara

“Justeru YADIM menyeru kepada semua umat Islam bertenang dan berlapang dada dalam menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadap petisyen Nik Elin,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button