Nasional

APMM optimum operasi di perairan negara sempena Tahun Baru Cina

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) komited memperketatkan kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di perairan maritim negara terutamanya di sempadan negara sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam satu kenyataan berkata, bagi mengekang dan memerangi kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti salah laku di Zon Maritim Malaysia, pihaknya akan memperhebatkan rondaan di kawasan ‘hotspot’.

Menurut beliau, seramai 800 pegawai dan anggota penguat kuasa ditugaskan dengan 45 buah aset dikerah bagi melaksanakan rutin rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara yang meliputi keluasan 556,285 kilometer persegi.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di kawasan perairan negara.

“Maritim Malaysia turut menyeru kepada komuniti maritim khususnya untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak agensi agar aktiviti salah laku dan jenayah maritim dapat dibanteras habis-habisan,” katanya.

Hamid dalam pada itu memberitahu orang ramai yang ingin membantu menyalurkan maklumat boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim Negeri (PUSOP) yang berhampiran di seluruh negara atau menghubungi Malaysian Emergency Response Services (MERS) di talian 999.

Related Articles

Back to top button