ekonomi

DOSM: Pengangguran menurun, pasaran buruh terima impak positif dari peningkatan FDI

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin kadar pengganguran pada Disember lalu menurun 3.3 peratus berbanding bulan berikutnya mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

“Bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada Disember 2023, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.03 juta orang daripada 17 juta orang pada November, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu pada 70.2 peratus (November 2023: 70.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Melalui kenyataan sama, Mohd Uzir memaklumkan bilangan penduduk bekerja pada Disember turut meningkat sebanyak 0.2 peratus iaitu 16.46 juta orang berbanding 16.43 juta orang pada November, sementara bilangan penganggur menurun sebanyak 0.2 peratus kepada 567,800 orang.

Jumlah penduduk bekerja pada Disember 2023, katanya sebanyak 75.2 peratus daripadanya adalah terdiri daripada kategori pekerja, meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.38 juta orang.

“Begitu juga, trend peningkatan turut dapat dilihat dalam kategori bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 3 juta orang,” jelasnya.

Beliau sementara itu turut menyatakan bahawa pada Disember 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, dengan 307,200 penganggur belia (November 2023: 10.6 peratus; 308,500 orang).

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 peratus kepada 6.4 peratus, mencatatkan 432,100 penganggur belia (November 2023: 6.5 peratus; 432,000 orang),” katanya.

Sejajar dengan prospek ekonomi Malaysia yang lebih baik pada 2024, katanya disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pelancongan yang semakin meningkat dan perbelanjaan infrastruktur yang lebih tinggi, pasaran buruh negara akan turut mendapat impak positif.

Related Articles

Back to top button