Mahkamah

Jangan politikkan keputusan mahkamah terkait isu Enakmen kanun Jenayah Syariah Kelantan – Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, pada Jumaat.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, semua pihak perlu menerima keputusan terbabit dan jika tidak berpuas hati, boleh meminta panduan mereka yang pakar atau bertanya sendiri dengan Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad.

Ini kerana katanya, ia berkait dengan undang-undang syariah di negeri itu, sambil mengambil contoh pepatah Arab yang bermaksud “Penduduk Makkah lebih mengetahui lorong-lorongnya”.

“Tak payahlah isu ini dipolitikkan mana-mana pihak. Sebaliknya sama-sama memikirkan tentang cara berkesan memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini,” katanya lapor FMT.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu juga boleh berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan terbabit menjadi sah dari segi undang-undang.

“Kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Cubalah memohon bantuan mereka yang pakar dalam bidang undang-undang untuk menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan supaya Dewan Undangan Negeri tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Related Articles

Back to top button