Semasa

Kenyataan Takiyuddin seolah cuba perkecil usaha Raja-raja Melayu – Amidi Abdul Manan

Kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sebagai sejarah hitam untuk Islam dan negara dianggap keterlaluan.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti KEADILAN, Amidi Abdul Manan berkata gelaran ‘Black Friday’ diberi Ahli Parlimen Kota Bharu itu seolah-olah menggambarkan perundangan syariah di negara ini telah mati atau menuju masa depan gelap.

Tegasnya, gambaran itu dilihat cubaan PAS memperkecil usaha dilaksana Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memperkasa undang-undang syariah melalui jawatankuasa mengkaji komptensi DUN menggubal undang-undang Islam yang diperkenan baginda baru-baru ini.

Jelasnya. jawatankuasa itu yang dipengerusikan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi dibentuk untuk mengelakkan pertikaian undang-undang sivil dan syariah seperti berlaku dalam kes Nik Elin berulang.

“Inilah sinar baharu bagi mendaulatkan undang-undang syariah diusahakan kerajaan jauh dari kepentingan politik sempit kepartian,” kata Amidi dalam kenyataan.

BACA LAGI: YADIM yakin keputusan kes petisyen Nik Elin tak lemahkan mahkamah syariah

Terdahulu pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota

Nik Elin dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Sementara itu melalui kenyataan sama Amidi menegaskan, Takiyuddin ketika menjadi menteri undang-undang antara tahun 2020 hingga 2021 seharusnya bertindak mengharmonikan antara kedua-dua undang-undang ini tanpa dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

“Ini ditambah apabila Presiden PAS Hadi Awang sendiri menangguhkan usul persendiriannya berkaitan RUU 355 yang mengandungi hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah yang lebih berat, ia menjauhkan Mahkamah Syariah dari fungsi sepatutnya,” katanya.

Sebagai rekod, Nik Elin dan Tengku Yasmin Nastasha memfailkan petisyen mereka pada Mei 2022, ketika negara ditadbir kerajaan terdahulu yang turut disertai PAS di dalamnya.

Related Articles

Back to top button