Semasa

KPDN rampas lebih 13,000 liter minyak diesel bersubsidi di Kedah

Sejumlah 13,300 liter diesel bersama peralatan dengan anggaran nilai sebanyak RM75,745 dirampas dalam serbuan berasingan di stor haram yang disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen atau permit di Changlun dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Rampasan dibuat dalam serbuan yang dijalankan oleh Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya yang bermula pukul 11.40 malam pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, turut ditahan sembilan lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pekerja di kedua-dua premis terbabit.

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar Changlun dan Bukit Kayu Hitam dengan menggunakan lori yang telah diubahsuai sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang merupakan stor haram sebagai tempat untuk menyimpan dan memindahkan minyak diesel sebelum dijual di pasaran gelap.

“Sebuah lori, beberapa buah tangki jenis Intermediate Bulk Containers (IBC) yang berisi minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

Dalam pada itu, KPDN turut memberi amaran keras ke atas mana-mana individu dan syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,”menurut kenyataan itu lagi.

Jika disabitkan dengan kesalahan individu terbabit boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi.

Related Articles

Back to top button