Negeri

KPDN tingkat kerjasama dengan PDRM, banteras ketirisan barang bersubsidi di Sarawak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan kerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dalam membenteras ketirisan barang bersubsidi.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Macha Ata sempena lawatannya ke negeri itu semalam bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

“Perbincangan adalah tertumpu kepada strategi meningkatkan kerjasama berterusan KPDN dan PDRM Sarawak.

“Antara fokus utama adalah berhubung penguatkuasaan membanteras ketirisan minyak diesel bersubsidi melalui Task Force yang telah ditubuhkan bagi Ops Tiris,” katanya melalui satu kenyataan media.

Jelasnya, berdasarkan statistik penguatkuasaan seluruh negara di bawah Ops Tiris pada tahun lalu, sebanyak 15,927 pemeriksaan telah dijalankan dan telah melibatkan 877 kes termasuk 386 kes serahan agensi.

Ia jelasnya melibatkan kuantiti rampasan sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dengan anggaran keseluruhan nilai berjumlah RM14,208,824.

“Manakala untuk Negeri Sarawak, sepanjang pelaksanaan Ops Tiris pada tahun 2023, 168 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM6,554,327.

“Serahan kes melibatkan minyak diesel bersubsidi meliputi PDRM sebanyak 17 kes, Pasukan Polis Marin sebanyak 74 Kes dan Pasukan Gerak Am sebanyak 13 kes.

“Data ini mununjukkan bahawa hampir 62 peratus daripada kes yang direkod adalah melalui serahan kes pihak polis.

BACA LAGI: PM Anwar arah pasukan keselamatan berganding bahu benteras penyeludupan

Sementara itu tambahnya bagi tahun ini, skop Ops Tiris terus diperkukuhkan bukan sahaja meliputi minyak diesel bersubsidi malah diperluaskan kepada barang kawal lain seperti petrol RON 95, minyak masak polibeg 1 kilogram bersubsidi, LPG dan gula pasir putih bertapis.

“Untuk tahun ini, KPDN terus menjalin kerjasama dengan PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperhebat lagi Op Tiris yang memberi tumpuan untuk membanteras penyelewengan barang bersubsidi, khususnya minyak diesel,” katanya.

Armizan dalam lawatan kerja ke Sarawak turut bertemu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi bagi membincangkan pengedaran gas asli dan LPG.

Related Articles

Back to top button