Global

MEKAR Diaspora akan diperluas, beri kemudahan untuk rakyat Malaysia di luar negara

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Diaspora akan ditambah baik dan dilaksana di lebih banyak lokasi di seluruh dunia.

Mengulas penganjuran program anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu yang berlangsung dari 1 hingga 6 Feb lalu di Arab Saudi, Saifuddin berkata ia telah berjaya menguruskan 240 perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara kepada 135 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.

Antara perkhidmatan dan nasihat yang ditawarkan ialah pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir serta permohonan kewarganegaraan.

“Program MEKAR Diaspora akan terus ditambah baik dan dilaksana di lokasi lain di seluruh dunia bagi memberikan khidmat melangkaui kebiasaan kepada rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

MEKAR Diaspora, antara lima kategori Program MEKAR JPN yang menawarkan perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus bagi rakyat Malaysia di luar negara.

BACA LAGI: Pemimpin Palestin ucap terima kasih kepada PM Anwar dan rakyat Malaysia

Saifuddin berkata, peluasan program itu di luar negara melengkapi aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi terhadap kebajikan dan kemakmuran rakyat Malaysia yang tidak hanya terhad dalam negara.

“Ini termasuklah perihal pendaftaran negara yang merupakan asas kepada kemenjadian seorang rakyat Malaysia,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button