Negeri

Mohamad Sabu, Abang Johari adakan perbincangan kerjasama sekuriti makanan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu menggandakan usaha dalam memastikan sekuriti makanan negara.

Pada Jumaat, beliau mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi membincangkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan negeri itu dalam menjayakan usaha tersebut.

Melalui hanyaran di laman Facebooknya Mohamad berkata,dalam pertemuan di Wisma Bapa Malaysia di Kuching itu, Abang Johari juga menyatakan komitmen dan kesungguhan dalam isu keterjaminan makanan dengan menyasarkan Sarawak mampu menjadi antara negeri pengeksport beras di negara ini.

Dalam perbincangan mereka turut menekankan isu berkaitan pengairan untuk pertanian.

“Insya-Allah bagi menjayakan hasrat Yang Amat Berhormat Premier dan kerajaan Persekutuan menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi kedua negara selepas negeri Kedah, kementerian akan melaksanakan strategi berdasarkan Konsep Pertanian Pintar.

“Strategi yang akan digunakan ialah Teras Pertama yang akan memfokuskan kepada Pembangunan Kapasiti Industri dan Infrastruktur, manakala Teras Ketiga akan diaplikasikan yang berkait dengan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi,“ katanya.

Mohamad sebelum berkata, pihak kementerian mahu memperluaskan penanaman padi di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan termasuk di Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

BACA LAGI: KPKM garis 12 program, laksana tranformasi industri padi dan beras negara

Ia selaras hasrat kerajaan menjadikan menjadikan kedua-dua negeri itu sebagai jelapang padi negara kedua pada masa hadapan sekaligus mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

Usaha itu bagi mendepani risiko negara pengeksport untuk mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.

Melalui Program SMART SBB Ala Sekinchan, selain membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import juga mampu menambah pendapatan golongan pesawah menerusi peningkatan hasil padi.

Namun bagi menjayakan aspirasi itu, komitmen semua pihak tegasnya amat diperlukan.

Related Articles

Back to top button