Amaran hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Sarawak sehingga 13 Februari
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dijangka berlaku sehingga Selasa (13 Februari 2024).
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang masih berpotensi berlaku di beberapa tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, Sabah serta bahagian-bahagian lain di Sarawak.
Jabatan itu turut menjangkakan cuaca kering dan panas berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35°C.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” menurut kenyataan itu lagi.