Aset ATM sentiasa dikemas kini bagi memantapkan kawalan sempadan negara
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa melaksana pemantauan dan persediaan berskala tinggi di semua kawasan perairan sempadan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah siap siaga itu bagi memastikan kedaulatan negara terjamin, menghalang pencerobohan kapal perang negara lain, penyeludupan migran dan ancaman lanun ke negara ini.
Beliau berkata operasi ATM sama ada di udara, darat dan laut diatur gerak 24 jam setiap hari di semua pos kawalan seluruh negara.
Ketika ini, kemasukan etnik Rohingya yang paling ramai dikesan memasuki Malaysia.
“Kita ini negara maritim, kita punya sempadan-sempadan dengan banyak negara dan kita punya pantai panjang. Ada pelbagai operasi, bukan satu sahaja. Setakat hari ini, kita sentiasa bersedia untuk memastikan ‘ops-ops’ ini berjalan dan kita dapat melakukan pencegahan”, katanya.
BACA LAGI: Sistem pertahanan siber negara berada dalam tahap keselamatan tertinggi
Mohamed Khaled Nordin berkata begitu dalam sidang media selepas merasmikan Pertandingan Muay Thai di Dewan Jubli Intan, Kota Tinggi, Johor semalam.
Sementara itu jelasnya, aset-aset ATM juga sentiasa dikemas kini bagi memantapkan kawalan di semua pintu masuk negara.