hiburan

Fahmi simpati nasib Komposer Ross Ariff, usaha bantu sedaya upaya

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil telah bertemu dengan komposer hebat, Ross Ariffin yang dikhabarkan bergelut kemiskinan sehingga terpaksa hidup gelandangan selama tiga tahun.

Menurut satu hantaran di Facebook Fahmi berkata, beliau terpanggil untuk mengenali seniman itu dengan lebih dekat setelah melihat berita keperitan hidupnya di media sosial.

“Setelah kami bertemu, Ross menceritakan kisah sedih beliau makan di jalanan, kadang-kadang menjamah sisa-sisa makanan yang ditinggalkan di atas meja. Kadangkala tiada langsung makanan seharian sampai ke malam.

“Dengan nada percakapan yang tersekat-sekat akibat pernah mengalami serangan strok sebanyak dua kali, tangan Ross juga pernah patah dan masih tak sembuh.

“Kesengsaraan beliau sebagai gelandangan hingga ke tahap jatuh menggigil dan pengsan akibat berada di tengah hujan terlalu lama,” katanya.

Fahmi berkata, Ross telah diberi tempat tinggal sementara oleh Exco Kebudayaan Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman dengan bantuan Datuk Zainal.

“Ross masih punyai tekad dan iltizam yang kuat untuk kembali berkarya kerana minat yang cukup mendalam.

“Saya dengar dengan teliti kata-kata beliau dan memberi semangat supaya tidak menyerah kalah dan terus berkarya kerana Ross punyai bakat yang sangat unik dan berupaya untuk kembali menjadi sebahagian daripada keluarga besar industri hiburan negara.

“Saya mohon pertimbangan daripada Dr. Zaliha Mustafa, Menteri Wilayah untuk mengenal pasti sebuah unit PPR dan juga cuba dapatkan bantuan asas untuk keperluan rumah beliau,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga mengadakan perbincangan bersama RTM supaya Ross dapat bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu.

“Uncle Ross sedang mencari sebuah ‘keyboard’ baharu dan sedikit wang tambahan untuk dia mulakan kembali kehidupan.

“Jom pakat ramai-ramai berikan angpau kepada Ross agar sama-sama meringankan beban supaya beliau boleh terus berikan sentuhan magis kepada industri muzik tanah air. Boleh derma di akaun Roslan Ariffin Jamil, 0410041100013234 (BSN),” katanya.

Terdahulu, media melaporkan karyawan berbakat itu telah diserang angin ahmar sehingga mengalami kesukaran untuk berjalan dan bertutur.

Related Articles

Back to top button