Semasa

Kepelbagaian kaum dan agama tongak kekuatan Malaysia – PM Anwar

Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini merupakan kekuatan yang berupaya meletakkan semula Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada Sabtu berkata, kepelbagaian itu juga seharusnya dilihat sebagai ‘tarikan’ untuk menarik lebih ramai pelabur, dalam usaha memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih baik.

Justeru tegas Anwar, menjadi kewajipan untuk semua rakyat menghargai dan memelihara kepelbagaian tersebut.

“Kita kaya dengan budaya, malah negara ini memiliki kepelbagaian bahasa, daripada bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Inilah tarikan dan kekuatan Malaysia yang boleh menarik minat pelabur. Jadi daripada sekarang, perlu penekanan kepada perkara ini,” katanya dalam majlis itu.

Turut hadir adalah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.

BACA LAGI: PM Anwar serikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina MCA

Sementara itu beliau yang juga Menteri Kewangan turut meminta masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa, bersatu padu, walaupun masing-masing memperjuangkan kepentingan tertentu.

“Usaha ini mesti disertai orang Melayu, Cina dan semua kaum serta agama. Ini harus diteruskan, walaupun ada beberapa kepentingan khas yang dibawa oleh pimpinan KLSCAH dan juga badan Melayu dan Islam lain.

“Tetapi hubungan kerjasama dalam beberapa isu seperti hak asasi, demokrasi, kebebasan badan kehakiman, termasuk isu menentang rasuah dalam negara ini harus kita teruskan,” katanya.

Related Articles

Back to top button